Khamis, 19 Mac 2009


Kilauan kuning emas sering menjadi tarikan sesetengah wanita hingga ada yang sanggup berhabis wang semata-mata untuk memilikinya. Bagi mereka yang kurang cenderung menghimpunkan barangan kemas dihasilkan daripada emas kuning, malah langsung tidak terfikir untuk memilikinya, tarikan logam ini tetap tidak dapat dinafikan menerusi nilainya sebagai aset pelaburan.

Membeli dan menjual emas sebagai satu bentuk pelaburan bukan kisah baru namun memiliki jongkong emas atau mungkin lebih sesuai disebut kepingan emas untuk beratnya yang agak minimum, antara aliran yang agak rancak kini.Kepopularannya mungkin berpunca daripada pelbagai faktor khususnya harga emas yang menunjukkan peningkatan sejak akhir-akhir ini. Ia juga dikatakan antara pelaburan terbaik dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan kini

"Sekalipun harganya jatuh, tetapi secara purata, harga emas tetap berada pada tahap yang tinggi. Jika tahun lalu, ia pernah berada pada harga RM80 segram, namun kini rata-rata ia berada pada harga RM120 segram.
"Kenaikan harganya yang agak ketara ini antara tarikan utama pembelian emas sebagai pelaburan. Malah, berdasarkan pemerhatian, aliran pembelian jongkong emas semakin popular sejak tahun lalu," kata Penolong Pengurus Komunikasi Pemasaran Habib Jewels Sdn Bhd (Habib), Yasheedah Yashaiya ketika ditemui di ruang pameran Habib di Alamanda, Putrajaya, baru-baru ini.

Menurutnya, peningkatan dan penurunan harga emas boleh dirujuk pada harga dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu apabila harga dolar AS meningkat, harga emas akan menurun dan sebaliknya.Bagi Habib, pengeluaran jongkong emas dilakukan sejak syarikat terbabit mula beroperasi. Ia dihasilkan dalam bentuk yang ringkas, sekali gus memudahkan pemiliknya untuk menyimpan, bahkan jongkong emas itu boleh dijual di mana-mana ceruk dunia.Kepingan emas seberat 10 gram misalnya, hanya selebar ibu jari manakala berat maksimum dikeluarkan Habib adalah jongkong emas satu kilogram.

Jongkong atau kepingan emas berkenaan adalah jenis terbaik iaitu emas 999 yang mempunyai nilai paling tinggi berbanding tiga jenis emas lain - 916, 835 dan 750.Bagi kepingan emas 10 gram, harga semasa mengikut pasaran dunia mungkin menjangkau RM1,300 namun syarikat berkenaan boleh mengurangkan harganya berdasarkan beberapa faktor misalnya cara bayaran. Pembayaran dilakukan secara tunai mendapat potongan harga berbeza untuk setiap gram berbanding pembayaran menggunakan kad kredit. Menariknya, menurut Yasheedah, ramai pembeli jongkong atau kepingan emas berkenaan adalah lelaki yang memang mendapatkannya semata-mata untuk tujuan pelaburan."Wanita yang bekerjaya turut memilikinya untuk pelaburan dan ada yang menjadikannya sebagai hadiah hantaran perkahwinan," katanya.

Di kalangan wanita yang memang menggemari emas kuning, katanya, gelang dan rantai tangan antara aksesori yang paling laris, bukan saja dijadikan pelaburan, malah untuk perhiasan diri.Memandangkan sambutan terhadap emas putih, turut dijadikan pilihan adalah barangan kemas dihasilkan daripada emas 916 yang disalut emas putih sekali gus menghasilkan dua rona berbeza, putih dan kuning pada satu-satu aksesori.

Ruang pameran di Putrajaya itu kini mengadakan pameran dan penjualan pada harga cukup rendah yang berlangsung sehingga 22 Mac ini. Antaranya koleksi eksport barangan kemasnya diberi potongan sehingga 70 peratus manakala koleksi dianggap paling istimewa adalah berlian bersijil dengan potongan harga paling rendah di pasaran.

Warna emas



  • Emas kuning - warna emas dalam keadaan semula jadi yang bersinar dan begitu menyerlah.


  • Emas merah - warna diperoleh hasil campuran tembaga ke dalam emas untuk menghasilkan kilauan berseri.


  • Emas putih - dihasilkan menerusi kombinasi emas dengan sejumlah besar perak manakala bahan lain seperti zink, nikel dan palladium boleh digunakan untuk memutihkan emas.

Menjaga barangan perhiasan emas.




  • Jika sering dipakai, ia tentu menarik kehadiran debu dan habuk. Pastikan perhiasan emas dicuci setiap tiga bulan supaya lebih berkilat. Gunakan pencuci khusus (ada di kebanyakan kedai emas) atau air sabun suam dan berus gigi lembut untuk menanggalkan minyak serta bahan lain.


  • Simpan dalam bekas berasingan atau bekas lembut untuk mengelakkannya bergesel antara satu sama lain yang boleh mengakibatkan calar.


  • Pakai barangan emas selepas solekan, wangian dan penyembur rambut kerana bahan kimia dalam bahan berkenaan boleh bertindak balas dengan aloi dalam barangan emas.


  • Usah menggunakan barangan emas ketika melakukan kerja di rumah atau berkebun kerana bahan pelelas (pelicin) dalam pencuci dan tanah boleh mencalarkan barangan emas.


  • Beri perhatian pada kancing dan pengunci keselamatan lain pada rantai, gelang tangan serta gelang kaki. Jika ada tanda kerosakan, hantarkannya untuk diperbaiki oleh tukang yang mahir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan