Isnin, 23 Mac 2009

Masalah Wang Kertas

Masalah Wang Kertas

Perhatikan beberapa masalah berikut:

1) Wang kertas jika disimpan di rumah (dalam tabung atau di bawah tilam misalnya) akan disusut nilai oleh kuasa pasaran lebih-lebih lagi jika disimpan untuk jangka masa yang lama. Dalam keadaan sekarang sekiranya dibandingkan dengan dolar Amerika Syarikat, wang tersebut boleh disusut nilai dalam tempoh sehari malahan sejam sahaja. Di Indonesia susut nilai rupiah didapati sehingga beratus-ratus peratus (Utusan Malaysia 1998c).

2) Jika demikianlah sifat nilai wang yang disimpan di rumah, ini bererti kita 'terpaksa' menyimpan wang di bank kerana di situ lazimnya wang akan ditokok tambah melalui faedah. Oleh itu susut nilai boleh dielakkan menurut kadar semasa yang diberikan oleh pihak bank. Ini bermakna kemungkinan faedah yang kita dapat dari bank bukanlah keuntungan tetapi 'adjustment' untuk susut nilai yang berlaku.

3) Kemungkinan juga wang yang disimpan di bank pun tidak selamat dari susut nilai yang berlebihan. Malahan wang kertas kita boleh lupus langsung kerana sama ada akaun dibekukan atau bank ditutup. Keadaan itu sudah menjadi agak lazim sekarang di beberapa negara luar. Faedah 100% setahun pun sudah tidak bermakna lagi apabila susut nilai wang semakin menjadi-jadi. Di negara jiran wang disusut nilai melebihi 600% (Utusan Malaysia 1998c).

4) Apabila kita meminjam RM1000 dari sahabat kita dan kita pulangkan RM1000 itu selepas 10 tahun sebagai contoh, kita katakan tiada riba. Dari segi kuantiti memang betul tiada riba. Tetapi 10 tahun lagi RM1000 tidak mempunyai nilai atau kuasa membeli yang sama. Tentulah tidak adil peminjam membayar pada kadar yang sama sebegini walaupun tidak digelar riba.

Contoh-contoh di atas dapat dikaitkan dengan kenapa zaman sebelum merdeka dahulu kita boleh bercakap tentang setengah sen dan suku sen. Menurut pakar ekonomi, perkara ini berlaku kerana faktor inflasi. Tetapi mengikut takrifan Adam Smith (George J W Goodman 1982) di dalam bukunya Paper Money, inflasi bermakna cukai tersirat yang disebabkan oleh lebihan wang kertas yang tercetak.

Sayugia diingatkan bahawa wang kertas seperti dolar Amerika Syarikat dahulunya bersandarkan emas. Setiap cetakan wang kertas mestilah bersandarkan jumlah emas yang tertentu. Dengan demikian wang kertas yang kita gunakan sebenarnya ialah resit untuk kita tuntut emas dari pihak yang berkenaan. Kertas ini dijamin oleh kerajaan biasanya dengan tulisan 'sah diperlakukan' sebanyak mana yang tercatit di atasnya. Resit ini sebenarnya jarang kita guna untuk menuntut emas tersebut. Sebagai contoh pada muka hadapan wang kertas 10 dolar Amerika Syarikat siri 1928 ada tercatit " Redeemable in gold on demand at The United States Treasury............." (Peter Kershaw 1994).


Sejak Ogos 1971 Presiden Nixon telah memutuskan hubungan di antara emas dengan wang kertas dolar Amerika Syarikat. Ketika itu pihak Amerika Syarikat memerlukan belanja yang banyak untuk membiayai perang di Vietnam. Keputusan itu dibuat kerana tuntutan dari negara-negara yang menyimpan dolar untuk mendapatkan emas sudah melebihi emas yang ada di dalam simpanan. Semestinya ini berlaku kerana lebihan cetak wang kertas. Keadaan ini menyebabkan negara Amerika Syarikat tergugat kerana peras ugut melalui tuntutan emas (Adam Smith 1982, Kurtzman 1993).

Tanpa piawaian emas, pihak bank Amerika Syarikat bebas mencipta wang melalui cetakan wang kertas tanpa ikatan dengan simpanan emas lagi. Maka wang kertas dolar pun menjadi wang spekulasi kerana tiada sandaran emas lagi. Semua wang kertas di dunia yang mengambil dolar sebagai bandingan pun turut tiada bersandaran emas.

Kurtzman berkata keputusan yang dibuat Nixon telah menjadikan wang yang asalnya suatu yang benar dan nyata kepada suatu abstraksi tersimpul atau twisted abstraction (Kurtzman 1993). Dalam buku yang sama dikatakan bahawa wang kertas itu masih lagi suatu nota janji untuk pembayaran tetapi pembayaran apa kepada siapa? (It is still a promise to pay. But to pay what to whom?)

Menurut James Dines, penulis buku Mass Psychology, tindakan memarahi spekulator mata wang masih lagi belum mencukupi kerana katanya ini adalah suatu low state of blame selagi kita belum mempertikaikan sistem mata wang kertas itu sendiri dan kembali kepada emas dan perak semula (Dines Letter 1997). Mata wang kertas bukan sahaja nilainya mengikut sentimen dan boleh diberi indeks bandingan lalu diperjudikan bahkan boleh dipaksa menyatakan nilai yang palsu tanpa menurut apa yang dipanggil fundamentals.

Wang kertas telah menjadi semacam sistem kepercayaan psikologi terhadap nilai yang tertera di atasnya dan nilai tukaran yang dipaksa oleh kuasa pasaran.

Sumber: www.dirham2dinar.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan